Kertas Kerja Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim berkaitan Hudud

tumblr_mf14mzbMFd1qb1mwt

Berikut adalah antara isikandungan kertas kerja yang pernah diusahakan oleh Allahyarham Tan Sri Prof Dr Ahmad Ibrahim untuk pembentangan di dalam program NADWAH PEMBANGUNAN ISLAM KELANTAN yang berlangsung pada 24 hingga 26 Ogos 1992 [25 hb hingga 27hb Safar 1413 Hijriah].

***********

“Sistem hukum Islam adalah berasaskan kepada prinsip-prinsip yang diwahyukan oleh Allah di dalam al-Quran yang dihuraikan juga oleh Sunnah Rasul S.A.W. Di dalam al-Quran disebutkan maskdunya:

A] Orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri hukumnya potong tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, juga sebagai satu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa. Lagi Maha Bijaksana.

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungghnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

B] Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi, ialah dengan dibalas bunuh [kalau mereka membunuh dan merampas] atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang [kalau mereka merampas sahaja] atau dibuang negeri [kalau mereka menganggu kententeraman awam]. Hukuman yang demikian itu adalah satu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu menangkapnya [mereka terlepas dari hukuman itu]. Maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [ Surah al-Maidah [5]: 33-34].

C] Ini ialah satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat mengamalkannya.

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tia-tiap seorang dari kedua seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhdap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan kepada mereka oleh sekumpulan dari orang yang beriman. [Surah An-Nur [24]: 1 – 2].

D] Dan orang-orang yang melimpahkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dari kesalahan yang tersebut, serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. [Suran An-Nur [224] : 4-5].

E] Sesiapa kufur kepada Allah sesudah ia beriman maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah, kecuali orang yang dipaksa melakukan kufur sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman, akan tetapi sesiapa yang terbuka  hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar. Surah An-Nahl [16]:106

Hukuman bagi meminum khamar ditetapkan oleh Nabi S.A.W. ialah empat puluh pukulan [Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud] dan terdapat hadith Nabi S.A.W.  yang menunjukkan bahawa Nabi S. A. W. telah mengenakan hukuman rejam kepada seorang lelaki muhsan yang mengaku melakukan zina [kes Maiz bin Malik] dan juga kepada seorang perempuan yang mengakukan zina [kes perempuan kaum Juhainah]. Mengenai murtad pula terdapat hadith yang menyebut maksudnya- “Orang-orang Islam yang telah menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan sebenarnya melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W. pesuruh-Nya, mereka tidak boleh dibunuh kecuali kerana tiga sebab, pertama seorang yang sudah berkahwin yang berzina, membunuh orang dan orang yang keluar dari agamanya dan memisahkan dirinya dari kaumnya”. [Sunan Abu Dawud: Kitab Al-Hudud].

Jenis yang kedua kesalahan dan hukuman di dalam Islam, ia mengenai qisas dan diyat yang berunsur dari a-Quran dan Sunnah akan tetapi  telah diperkembangkan oleh ijtihad ahli fiqh. Tersebut di dalam al-Quran maksudnya.

a] Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mu’min membunuh seorang mu’min yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh orang mu’min dengan sengaja, maka wajiblah ia membayar kaffarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat [denda ganti nyawa] yang diserahkan kepada ahlinya keluarga si mati, kecuali jika mereka sedekahkan dan memaafkannya [Sebahagian ayat 92 Surah An-Nisaa [4].

b] Dan Kami tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat  bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas seimbanngya. Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya. [Sebahagian Ayat 45, Surah Al-Maidah [5]].

c] Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas [balasan seimbang] dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba  dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa pembunuh yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya pihak yang terbunuh, maka hendaklah orang yang mengampun itu mengikut cara yang baik dalam menuntut ganti nyawa dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampau batas untuk membalas dendam pula maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. [Surah al-Baqarah [2]: 178-179.

Ijtihad juga  menjadi sumber kesalahan taazir atau kesalahan di mana hukumnya tidak ditetapkan di dalam al-Quran atau Sunnah dan terpulang kepada kerajaan atau hakim.

Beberapa kesan timbul dari sifat keugamaan  mengenai peruntukan-peruntukan  pnghukuman Islam. Antara yang penting ialah:

a] Kepatuhan kepada dan kegunaan peruntukan-peruntukan peghukuman Islam adalah berkiat rapat  dengan kepercayaan kepada Allah. Oleh kerana itu  hukuman bagi pencurian disebut “sebagai balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan dan juga sebagai suatu hukuman pencegah dari Allah”. Surah Al-Maidah [5] :38] dan hukuman bagi zina ditetapkan oleh Allah“ dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah [Surah An-Nur [24] : 2].

B] Undang-undang jenayah  Islam memperuntukkan kedua-duanya hukuman di dunia dan juga di akhirat. Umpamanya mengenai orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana  kerosakan di muka bumi,  selepas menyebut hukuman iaitu bunuh, palang, potong tangan dan kaki atau buang negeri, disebut maksudnya, “Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan  di dunia bagi mereka dan akhirat kelak mereka berolah azab seksa yang amat besar. {Surah Al-Maidah [5] : 33]. Mengenai pembunuhan pula Allah berfirman maksudnya, “Dan sesiapa yang membunuh seorang mu’min dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang benar”. Surah an-Nisaa [4]: 93].
e] Perhubungan antara peruntukan undang-undang itu dan keimanan dan taqwa  dari satu segi dan antara kepatuhan kepada undang-undang dan hukum itu di dunia dan pembalasan kejayaan  atau seksa  di akhirat, sentiasa menjadi dorongan atau motif terus mematuhi kepada undang-undang jenayah Islam. Jika unsur larangan agama itu ditambah kepada penahanan undang-undang duniawi, tiap-tiap orang akan berkesan menjadi hakimnya sendiri dengan taqwanya kepada Allah menahannya dari memuaskan nafsunya dalam perbuatan-perbuatan yang dilarang dan menyebabkan kemudharatan kepada hak-hak orang lain.

d] Penguatkuasaan undang-undang Jenayah Islam adalah kewajipan yang dikenakan oleh Allah. Telah disebut di dalam al-Quran maksdunya – Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah kerana mengingkarinya maka mereka itulah orang kafir.

Sesiapa  yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim,

Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Dan Kami turunkan kepadamu, [wahai Muhammad] kitab al-Quran dengan membawa kebenaraan  untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka hukumlah di antara mereka itu dengan apa yang diturunkan oleh Allah lepadamu dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan menyeleweng  dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan suatu Syariah dan jalan ugama yang wajib diikuti oleh masing-masing. Dan kalau Allah menghendaki  nescaya Allah jadikan kamu satu umat yang bersatu tetapi Ia hendak menguji kamu dalam menjalankan apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu lerumba-lumbalah  kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Allah akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.[Sebahagian ayat 44, 45 dan 47 dan ayat 48 Surah al-Maidah [5].

e] Kepatuhan kepada undang-undang jenayah Islam tidak semestinya bergantung kepada adanya undang-undang duniawi untuk memperkuatkuasakannya. Peruntukan-peruntukan undang-undang itu terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah dan ia semua belum dan tidak boleh dimansukhkan oleh sesiapa. Orang-orang Islam hendaklah diberitahu nengenai undang-undang itu dan mematuhi kepada undang-undang itu supaya mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

f] Kesalahan-kesalahan yang dihukumkan di bawah undang-undang Islam sebagai Hudud seperti zina, pencurian, hirabah, qadhf dan mabuk dan untuk qisas dan diyat seperti pembunuhan dan menyebabkan cedera adalah diterima sebagai  kesalahan yang seharusnya dihukum dan mungkin cuma jenis dan berat hukuman itu yang dipertikaikan. Memang ada hukuman-hukuman  di bawah Undang-Undang Islam yang mungkin dipandang sangat berat dan sangsara akan tetapi  hukuman-hukuman itu  dikenakan teristimewa bagi kesalahan-kesalahan yang  sangat buruk  dan merbahaya dan selepas kesalahan itu dibuktikan hingga tidak ada apa-apa keraguan. Terdapat juga jenis-jenis hukuman yang boleh dikatakan berat dan sengsara  seperti hukuman gantung, dibunuh dengan gunakan gas, pukulan dengan rotan yang sangat teruk dan penjara seumur hidup yang diterima dan dikenakan di bawah undang-undang sekular.

g] Di dalam undang-undang jenayah Islam tiap-tiap kesalahan melibatkan hak Allah atau hak ibad, atau kedua-duanya. Kesalahan melanggar perintah Allah di dalam al-Quran adalah sebahagian hudud. Hukumannya ditetapkan  oleh al-Quran dan Sunnah  dan kesalahan-kesalahan itu melibatkan hak Allah. Hak mengenakan hukuman hadd juga ialah hak Allah dan ada kala disebutkan bolehnya  ada taubat dan ampun. Umpamanya mengenai mencuri, disebutkan maksudnya – “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani”. Surah al-Maidah [5]: 39].

Kerajaan atau individu tidak boleh menganggu atau mengubah hukuman hadd yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah. Sebaliknya kesalahan-kesalahan mengenai qisas dan diyat adalah kesalahan melibatkan badan manusia haqq ibad. Oleh kerana itu diberi kepada mangsa atau ahli warisnya memaafkan kesalahan itu dan menuntut dan menerima diyat. Pihak-pihak boleh bersetuju dengan sulh menyelesaikan perkara itu.

h] Oleh kerana undang-undang Jenayah Islam dicipta oleh Allah, Allah juga akan menolong kita  di dalam pelaksanaannya. Insha Allah dengan pertolongan Allah kesalahan-kesalahan itu dan hukumannya juga dapat dielak dan dijauhi.

Di dalam bukunya Fiqh-us-Sunnah, Sayyid Sabiq menulis mengenai keadilan di dalam hukuman-hukuman hadd, maksudnya:

“Di samping dapat menjamin kemaslahatan dan ketenteraman umum, hukuman-hukuman hadd adalah juga sangat adil. Sebab zina merupakan dosa yang paling keji serta melanggar akhlak, kehormatan dan kemuliaan manusia. Zina juga merosak ketenteraman keluarga serta rumahtangga dan menimbulkan berbagai kejahatan serta kerosakan sendi-sendi kehidupan individu dan masyarakat. Zina adalah juga merosak dan menghilangkan nama baik atau eksistensi suatu umat”.

Sungguhpun demikian, namun Islam masih sangat hati-hati dalam menetapkan hukum dosa ini [zina], dengan disyaratkannya hal-hal yang hampir-hampir mustahil dapat terpenuhi.

Hukuman zina, dengan demikian, lebih ditekankan pada usaha pencegahan [preventif] serta menakut-nakuti]  daripada realisasi suatu pelaksanaan hukuman.

Tuduhan zina yang ditujukan kepada lelaki atau wanita yang masih dalam ikatan pernikahan adalah kejahatan yang dapat mengakibatkan putusnya hubungan keluarga atau dapat memisahkan suami-isteri yang terkena tuduhan. Tuduhan  berzina bisa meruntuhkan keutuhan rumahtangga, padahal rumahtangga merupakan sel [sendi] utama suatu masyarakat. Baiknya rumahtangga akan membawa baiknya masyarakat dan sebaiknya, buruknya rumahtangga akan membawa buruknya masyarakat. Dengan demikian ketentuan agama berupa hukuman delapan puluh kali pukulan  terhadap si penuduh, setelah dia tidak dapat mengajukan empat orang saksi mata sebagai bukti tuduhannya, teranglah sangat bijaksana dan sangat memperhatikan segi kemaslahatan, yakni agar kehormatan orang tidak terganggu dan nama baiknya tidak dirugikan.

Mencuri tidak beza dengan merampas harta orang lain dan merampas haknya  padahal harta benda adalah sesuatu yang disayangi. Oleh kerana itu ditetapkannya  hukuman potong tangan terhadap pelaku-pelaku pencurian, adalah agar orang lain akan menahan diri untuk tidak melakukannya, dan selanjutnya akan tercipta keamanaan di mana setiap orang tidak khuatir tentang hartanya . Dan semua ini merupakan ketentuan yang mencerminkan ketinggian ajaran Islam.

Ketentuan [syari’at]  ini yang diterapkan di negara-negara yang menjalankannya secara konsekwen telah berhasil secara nyata, baik dalam segi mewujudkan keamanan mahupun dalam segi pemeliharan harta benda dari bahaya tangan-tangan jahil serta pelanggar-pelanggar hukum.

Pembangkang-pembangkang yang membuat kerosakan di umi, perusuh-perusuh, penganggu keamanan, pembuat kekacauan dan orang-orang yang berupaya mengganti paraturan-peraturan yang berlaku sah, telah dikenai hukuman potong tangan dan kaki secara menyilang atau diusir dari daerah kediamannya.

Khamar dapat mengakibatkan hilangnya akal bagi si peminumnya. Dengan hilangnya kesedaran, akan terperosoklah seseorang itu ke dalam perbuatan-perbuatan yang keji dan jahat. Apabila ia dihukum dengan hukuman cambuk, maka dengan itu di satu pihak dimaksudkan untuk mencegah terulang kembalinya perbuatan ini, dan di pihak lain untuk memperingatkan orang lain agar tidak melakukan dosa seperti itu.

Hukuman hadd hanya boleh dikenakan jika terbukti orang yang berkenaan telah melakukan kesalahan dan semua butir-butir bagi kesalahan itu dibuktikan hingga tidak ada keraguan. Di dalam satu hadith disebutkan maksud, “ Tolaklah hukuman terhadap kaum Muslimin selama masih mungkin. Maka jika ada jalan keluar, lepaskan dia, sebab seorang hakim lebih baik keliru dalam memberi ampunan daripada keliru dalam memberi hukuman”. [Termizi].

Dan diriwayatrkan juga dari Abu Hurairah maksudnya, “ Rasulullah S.A.W. bersabda “Hindarilah hukuman selama kamu masih menemukan alasan untuk menghindarinya itu”. Ibn Majah.

Sofwan bin Umayyah menceritakan bahawa Nabi S.A.W.  pernah berkata kepadanya sewaktu beliau akan menjatuhkan hukuman potong tangan seseorang yang mencuri bajunya.  Sofwan telah jelaskan bahawa dia sedia memaafkan orang yang mencuri baju itu. Nabi S.A.W. kemudian berkata maksudnya, “Apa sebab engkau tidak mengampunkan dia sebelum menyerahkan dia kepadaku”. [Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud].

Abdullah b Amr bin Al-As pula telah meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. telah bersabda maksdunya, “Maafkanlah hukuman hadd antara kamu, akan tetapi mana-mana kesalahan hadd yang diberitahu kepada saya, perlulah hukuman hadd dilaksanakan”. [Sunan Abu Dawud, Kitab al-hudud].

Mungkin ada baiknya kita lihat contoh dua negara Islam yang telah mencuba melaksanakan undang-undang jenayah Islam. Arab Saudi menjalankan undang-undang Islam mengikut al-Quran dan Sunnah. Di dalam satu perbincangan yang telah diadakan antara ahli hukum Saudi dan juris Barat di Riyadh pada tahun 1972 perwakilan Saudi telah berkata, maksudnya:

“Pencurian, kecuali kes-kes diragu-ragui seperti pencurian disebabkan oleh kelaparan, adalah dihukum dengan potong tangan. Kami sedia mengaku, bersama ahli juris, bahawa hukuman adalah sangat berat. Akan tetapi sayugia diingati bahawa pencurian di negeri-negeri Barat biasanya dilakukan dengan kekerasan dan boleh menyebabkan pembunuhan mangsanya. Di dalam keadaan itu tertanya-tanya mana yang lebih baik, menaruh kasihan kepada tangan si pencuri atau kepada nyawa mangsa yang diserang. Oleh kerana beratnya hukuman itu di dalam Islam, kedua-duanya iaitu tangan orang yang hendak mencuri dan nyawa mangsa diselamatkan pada masa yang sama dan kesejahteraan terjamin bagi semua orang. Pelaksanaan hukuman itu, jika diadakan di khalayk ramai, menjadi tauladan kepada orang lain. Dengan cara ini, di Arab Saudi, di mana udang-undang Islam dikuatkuasakan, wang kerajaan boleh dipindahkan dari satu bank kepada bank yang lain dengan kereta biasa, tanpa mengadakan eskort atau naungan selain dari dreber itu. Bolehkah terdapat di mana-mana negara Barat, wang boleh dipindah dari satu bank kepada satu bank yang lain di bandar-bandar tuan dengan tidak memerlukan perlindungan kawalan pasukan polis yang kuat dan kereta-kereta kebal”.

Dr. Maarof al-Dawalibi yang mengucap perbincangan itu berkata maksud, “ Saya telah tinggal di negara ini tujuh tahun dan saya tidak pernah melihat atau mendengar ada potongan tangan kerana mencuri. Ini kerana kesalahan itu jarang berlaku. Apa yang tinggal dari hukuman itu ialah kejamnya, yang telah membolehkan semua orang tinggal di dalam kesejahteraan dan kesentosaan dan bagi mereka yang ingin hendak mencuri terus mempunyai tangan yang tidak dikudungkan. Dahulunya apabila tempt-tempat ini mengikut undang-undang Kanun Keseksaan Perancis di bawah empayar Ottoman, jemaah haji yang berjalan antara Mecca dan Medina tidak rasa aman harta dan nyawa mereka, kecuali jika mereka mempunyai eskort yang kuat. Akan tetapi apabila negara ini menjadi Kerjaan Saudi dan undang-undang Quran telah dikuatkuasakan, jenayah terus lenyap. Seorang boleh berjalan bukan sahaja antara Mecca dan Medina akan tetapi juga dari Dahran di teluk ke Jeddah di tepi Laut Merah dan melalui jauh lebih dari seribu lima ratus kilometer menyeberang padang pasir seorang diri atau dengan kereta pakainya dengan tidak khuatir keselamatan dirinya atau hartanya samada harta itu berjuta-juta ringgit atau ia seorang asing”.

Apabila menyentuh hukuman zina, wakil Saudi itu berkata maksudnya: “Hukuman ini hanya dikenakan  apabila orang salah itu sebelum melakukannya adalah seorang yang sudah berkahwin dan jika empat orang saksi yang adil dan jujur telah melihat kesalahan itu dilakukan di hadapan mereka supaya mengelakkan apa-apa syak. Di sini juga kami bersetuju, hukumannya sangat berat, akan tetapi jelaslah ia tidak dikenakan di dalam Islam kecuali perbuatan itu disaksikan oleh empat saksi adil dan benar. Kesaksian seorang sahaja tidak ada kesan sama sekali di dalam undang-undang. Di dalam keadaan itu orang yang melihat kejadian itu diminta jangan membuat aduan dan jika ia membuat aduan juga, tanpa membawa tiga orang saksi lain, ia boleh dihukum sebat kerana kesalahan qadhf; begitu juga keadaannya jika ada hanya dua ataupun tiga orang saksi. Syarat yang penting yang diperlukan oleh al-Quran ialah adanya empat orang saksi yang boleh dipercayai dan yang tidak pernah dipersoalkan tentang adilnya. Apabila terdapat empat orang saksi yang adil itu, hukuman itu dikenakan kerana sopan dan keamanan awam telah terhina. Samada sah atau tidak sesuai dan menjadi sumbang perhubungan jenis itu dilakukan di khalayak ramai. Inilah sebabnya Islam menunjukkan pendirian yang tegas terhadap orang-orang yang membahayakan keamanan dan kesusilaan awam. Kalaulah perbuatan seperti  itu dilakukan di tengah-tengah jalan di khalayak ramai di sebuah bandar di negeri Barat, sungguhpun kebebasan seks dibenarkan, orang yang lalu mungkin mengambil langkah membunuh orang-orang yang terlibat itu, tidak sempat kes itu dibawa ke mahkamah. Orang-orang seperti itu dipandang sebagai binatang dan nyawa mereka tidak lagi berhak dihormati”.

Dr. Dawalibi yang juga memberi pendapatnya  meruju’ kepada apa yang telah diperkatakan kepada sebahagian daripada wakil-wakil itu, “Adakah kamu hendak pergi  ke suatu negeri di mana mereka menggantung mati orang-orang yang berzina?”, dan ia berkata, maksudnya, “Tolonglah beritahu  kepada orang-orang itu apa yang kamu sudah lihat dan dengar. Kamu tidak mendengar sesiapapun yang telah direjam dan tidak kamu lihat perkara itu di negara ini. Adalah lebih baik bagi masyarakat di mana ketaqwaan  kepada Allah mencukupi untuk menghindar kesalahan dan hukuman itu dan dengan itu menegakkan keamanan keluarga dan kebahagian suami isteri, mengadakan hukum keagamaan yang berat di dalam perkara ini, dan bergantung kepada undang-undang sekular yang tidak mengadakan hukuman setimpalnya, dan juga tidak memasukkan  perasaan takut kepada Tuhan dan oleh kerana itu menyebabkan banyak kehilangan kesejahteraan keluarga. Terjadilah kesalahan kepada kemuliaan kemasyarakatan dan timbul dorongan kepada beberapa jenis kesalahan yang dasyat, sedangkan dalam negeri-negeri Islam di mana terdapat sifat taqwa kepada Allah dan di mana Undang-Undang Allah dilakasanakan tidak terdapat keadaan sedemikian.

Di Pakistan undang-undang hudud telah dilaksanakan dari tahun 1979.  Undang-undang yang telah diperbuat ialah:

a] Ordinan terhadap harta [Pelaksanaan Hudud] 1979

b] Ordinan Kesalahan Zina [Pelaksanaan Hudud] 1979.

c] Ordinan Qazf [Pelaksanaan Hudud] 1979.

d] Perintah Pencegahan [Pelaksanaan Hudud] 1979.

Di bawah Ordinan Kesalahan terhadap harta [Pelaksanaan Hudud] 1979, pencurian ditafsirkan  yang boleh dikenakan hadd dan pencurian yang boleh dihukum taazir. Sesiapa orang mukallaf, yang dengan jalan sembunyi-sembunyi, mengambil barang orang lain daripada hirz atau tempat barang itu disimpan selamat dan barang itu sampai atau lebih nasab  yang ditentukan, adalah dikatakan melakukan pencurian yang boleh dihukum hadd. Pembuktian yang diperlukan bagi pencurian yang boleh dihukum hadd ialah [a] Si tuduh berikrar melakukan pencurian yang boleh dikenakan  hukuman hadd [b] Sekurang-kurangnya dua orang saksi, selain dari pengadu, yang mana saksi itu Mahkamah berpuas hati melalui tazkiyyah al-shuhood, bahawa mereka adalah  orang yang adil dan jauh dari dosa-dosa besar, telah memberi kesaksian sebagai orang yang melihat pencurian itu. Kenyataan pengadu pencurian atau wakilnya hendaklah dicatatkan sebelum kesaksian saksi-saksi itu dicatatkan. Hukuman hadd tidak boleh dijalankan apabila orang yang membuat pengakuan salah telah menarik balik pengakuannya sebelum hukuman itu dijalankan. Jika syarat-syarat atau pembuktian kesalahan pencurian tidak mencukupi untuk menjatuhkan hukuman hadd, kesalahan itu boleh dikenakan taazir.

Ordinan itu juga memperuntukkan untuk hirabah. Apabila seorang atau lebih, samada mempunyai senjata atau tidak, telah menggunakan kekerasaan untuk mengambil harta orang lain dan menyerangnya atau menyebabkan penahanan diri yang tidak sah atau meletaknya di dalam ketakutan hilang nyawa atau kecederaan, orang itu dikatakan melakukan hirabah. Apabila hirabah dilakukan dengan jalan membunuh orang yang dirompak dan mengambil hartanya, hukumannya ialah mati. Apabila hirabah dilakukan dengan harta mencukupi nisab dirompak, orang yang melakukannya dipotong tangan yang kanan dan kaki yang kiri. Apabila orang yang melakukan hirabah, tidak membunuh atau mengambil harta tetapi telah menyebabkan kecederaan, ia hendaklah dihukum sebat dan penjara seperti di atas dan juga dihukum kerana menyebabkan kecedraan itu. Pembukitan yang diperlukan  ialah sama dengan apa yang diperlukan bagi pencurian dan hukuman hadd tidak dikenakan bagi hirabah  di dalam keadaan di mana hadd tidak boleh dikenakan  untuk pencurian.

Di bawah Ordinan Kesalahan Zina [Pelaksanaan Hudud], 1979, zina adalah zina yang boleh dihukum  sebagai hadd dan zina yang boleh dihukum sebagai taazir. Zina boleh dikenakan hadd jika [a] ia dilakukan oleh seorang lelaki yang mukalaf  yang bukan gila dengan seorang perempuan dengan sesiapa ia tidak pernah berkahwin, [b] ia dilakukan oleh seorang perempuan yang mukalaf yang bukan gila dengan seorang lelaki dengan siapa yang tidak berkahwin atau tidak ada shubhah ia berkahwin. Sesiapa yang disabitkan kesalahan zina yang boleh dikenakan hadd hendaklah ia dihukum [a] jika ia muhsan, direjam dengan batu hingga mati di hadapan khalayak ramai atau [b] jika ia tidak muhsan, disebat di hadapan khalayak ramai dengan seratus pukulan. Pembuktian zina yang boleh dihukum haad adalah dua jenis [a] si dituduh membuat di hadapan mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pengakuan salah bahawa ia telah melakukan kesalahan itu atau [b] sekurang-kurangnya empat orang saksi lelaki Islam yang baligh dengan siapa mahkamah berpuas hati mengikut syarat-syarat tazkiyyah al-shuhood bahawa mereka adalah adil dan menjauhi dosa-dosa yang besar, memberi keterangan bahawa mereka melihat perbuatan perzinaan itu. Apabila orang yang tuduh telah membuat pengakuannya sebelum hadd itu dijalankan, jika ia menarik balik  pengakuannya sebelum hadd itu dijalankan. Jika syarat-syarat atau pembuktian tidak mencukupi untuk mengenakan hadd, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan taazir.

Ordinan Kesalahan Qazf [Pelaksanaan Hadd] membahagikan Qazf kepada kesalahan qazf yang boleh dikenakan hadd dan qazf yang boleh dikenakan taazir. Qazf ialah menuduh, seseorang melakukan zina tanpa membawa empat orang ssksi. Seseorang yang sudah baligh yang dengan sengaja dan tanpa apa-apa kekaburan melakukan kesalahan qazf  terhadap seorang muhsan, boleh dihukum dengan hukuman hadd, iaitu pukulan lapan puluh sebat. Pembuktian qazf ialah dengan [1] Pengakuan seseorang di hadapan mahkamah [2] Kesalahan qazf dilakukan di hadapan mahkamah atau [3] Kesaksian sekurang-kurangnya dua orang lelaki Islam yang telah diterima oleh mahkamah selepas takziyyah al-shuhood sebagai orang yang adil dan jauh dari melakukan dosa besar. Jika kesalahan itu tidak sampai kepada qazf yang boleh dihukum dengan hadd atau pembuktian yang disebut itu tidak diperolehi, orang itu boleh dihukum dengan taazir.

Di bawah Perintah Pencegahan [Pengutkuasa Hadd], 1979, seseorang yang dengan sengaja dan tanpa ikrah dan iztirar, yang menggunakan apa-apa yang memabukkan dengan apa cara jua, samada dengan itu ia mabuk atau tidak, adalah melakukan kesalahan meminum. Seorang Islam yang mukalaf yang meminum minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan bukuman hadd dan hendaklah disebat dengan delapan puluh pukulan. Pembuktian untuk kesalahan hadd meminum itu aalah [a] dengan orang yang berkenaan membuat pengakuan di hadapan mahkamah bahawa ia telah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan hadd itu [b] sekurang-kurangnya dua orang lelaki Islam yang baligh yang mana mahkamah berpuas hati melalui tazkiyyah al-shuood bahawa mereka adalah adil dan jauh dari dosa-dosa besar memberi  keterangan bahawa orang yang dituduh telah melakukan kesalahan itu.

Hukuman hadd tidak dikenakan apabila orang yang dituduh menarik balik pengakuan salahnya atau jika mana-mana saksi menarik balik keterangannya. Jika kesalahan itu tidak boleh dikenakan hadd atau pembuktian tidak diadakan seperti yang dikehendaki bagi hukuman hadd, orang itu boleh dihukum dengan taazir jika mahkamah berpuas hati dia ada melakukan kesalahan menggunakan apa-apa yang memabuk. Seorang bukan Islam boleh dihukum dengan taazir jika [a] ia melakukan kesalahan meminum di tempat awam atau [b] ia melakukan kesalahan itu tanpa membuktikan ia membuat demikian mengikut upacara agamanya.  Hukuman taazir untuk meminum itu ialah penjara tidak lebih dari tiga tahun atau sebat tidak boleh  lebih tiga puluh pukulan atau kedua-duanya. Seorang yang membuat, mengedar, menjual, mengimpot atau mengeksport apa-apa yang boleh memabukkan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih lima tahun dan sebat tidak lebih dari tiga puluh pukulan dan boleh dikenakan denda. Seorang yang memiliki apa-apa yang boleh memabukkan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih dua tahun atau sebat tidak lebih tiga puluh pukulan dan boleh dikenakan denda.

Ordinan Pelaksanaan hukum sebat, 1979, menerangkan cara hukuman sebat dilaksanakan dan ini adalah berlainan dari hukuman sebat yang diperuntukkan di bawah Kanun Acara Jenyah, yang lebih berat walaupun bilangannya lebih kurang. Cara pukulan megikut Islam telah pun diperuntukkkan dan dijalankan di Kelantan. Di sini boleh juga disebutkan bahawa di dalam undang-undang Islam, seperti yang diikuti di Arab Saudi, isteri-isteri banduan dibenarkan berjumpa dengan mereka dari masa ke semasa dan tinggal bersama. Seorang banduan dianggap sebagai asir, iaitu di dalam penjagaan negara, yang bertanggungjawab memberi keperluannya dan mengambil langkah memulihkannya. Seorang itu hanya boleh ditahan supaya ia tidak menyebabkan kerugian atau kebinasaan kepada orang lain dan ia ditahan hingga ia menujukkan ia telah taubat.

Dengan Ordinan Undang-Undang Jenayah [Pindaan] 1991 Penal Code dan Criminal Procedure Code di Pakistan telah dipinda untuk membolehkan qisas dan diyat dilaksanakan. Hukuman qisas, diyat dan arsh [atau ganti rugi] telah ditambah kepada hukuman-hukuman di bawah Penal Code.  Kesalahan membunuh dan mencederakan boleh dikompaun dengan sulh atau diselesaikan dengan membayar diyat atau arsh. Oleh kerana itu hukuman mati tidak lagi menjadi mnadatori untuk kesalahan membunuh dengan sengaja. Untuk jenis membunuh yang lain, iaitu yang tidak dengan sengaja atau dengan kesilapan atau dengan kecuaian, hukuman bunuh tidak dikenakan akan tetapi dikenakan diyat atau arsh. Banyak kesalahan ini boleh dikatakan dianggap sebagai tort di dalam undang-undang sivil. Bezanya di dalam undang-undang Islam diyat atau arsh itu ditetapkan oleh undang-undang dan tidak bergantung kepada penilaian dan ketetapan mahkamah. Ini mungkin dapat memudahkan tuntutan dibuat dan membolehkan sistem takaful dijalankan dengan cara yang lebih baik.
Di Pakistan sehingga ini dengan pertolongan Allah dan kesannya ada undang-undang itu belum ada satu kes pun yang telah dihukum dengan hadd dari kebanyakan kesalahan dihukum sebagai taazir di bawah Penal Code. Di dalam pelaksanaan undang-undang itu sayangnya terdapat dua perkara yang telah membawa kepada ketidakdilan. Satu yang timbul dari peruntukan Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam, Pakistan, 1961 [yang tidak dapat dipesoalkan di hadapan Mahkamah Syariah Federal]. Adat diperuntukkan bahawa sesuatu lafaz cerai yang tidak dilapurkan kepada Majlis Timbangtara adalah tidak sah. Sebaliknya perceraian itu boleh menjadi sisi mengikut Hukum Islam dan dianggap sedemikian oleh keluarga suami isteri itu. Seorang isteri yang telah dicerai menganggap ia telah dicerai sungguhpun suaminya telah tidak melapurkan perkara itu kepada Majlis Timbangtara. Sayangnya jika ia berkahwin semula, ia boleh dituduh di bawah Ordinan Kesalahan Zina [Penguatkuasaan Hadd]. Perkara yang kedua yang boleh membawa ketidakadilan timbul dari Qanun-e-Shahadat, 1984 [atau Kanun Keterangan]  yang tidak membezakan antara bayyinah dan shahadat dan memerlukan shahadat bagi kesalahan zina yang boleh membawa hukuman taazir. Jika seorang perempuan diperkosakan dan ia membawa tuduhan zina terhadap lelaki yang memperkosakannya, oleh kerana ia tidak boleh membawa empat orang lelaki sebagai saksi, lelaki itu dibebaskan dan sebaliknya jika perempuan itu hamil dia boleh dihukum berzina.

Sejarah menunjukkan hukum Islam telah diperuntukkan dan dilaksanakan di negeri-negeri Melayu sebelum datangnya penjajah British. Di Terengganu terdapat batu bersurat dari abad XII M yang antara lain menyebutkan hukuman zina, seratus rotan bagi orang bujang dan direjam jika orang itu beristeri atau bersuami. Undang-undang Melaka mengenakan Hukuman Allah bagi orang yang membunuh [f.1, 5.3 dan 8.3], bagi orang yang mencuri [II.I] untuk zina  [12.2] dan untuk qadhf [12.3], dan juga mengenakan hukuman taazir dan diyat [16.3]. Di zaman Sultan Zainal Abidin III di Terengganu [1881-1918] Hukum Syarak telah dilaksanakan dan hukuman hudud, qisas, diyat dan taazir diperuntukkan. Mungkin di negeri-negeri lain seperti Kelantan dan Kedah juga undang-undang hukuman Islam itu telah dipakai. Dengan kedatangannya British dan diadakan Kanun Keseksaan yang mengikut undang-undang di India dan England, Undang-Undang Islam tidak lagi dikuti. Orang-orang Islam sendiri sudah tidak lagi  faham hikmat dan kebaikan perundangan hukuman Islam dan tidak hairanlah timbul prejudis dan buruk sangka megenainya.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, ini telah dibuat dengan perjanjian dan persetujuan semua pihak iaitu Raja-Raja Melayu, Kerajaan British, orang-orang Melayu, Cina dan India. Dan satu perjanjian yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah bahawa sungguhpun Islam diterima sebagai ugama Persekutuan akan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Keadaan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya di Malaysia boleh disamakan dengan keadaan di Medina di mana terdapat Piagam Medina yang antara lain membenarkan  penduduk Medina yang bukan Islam mengikut agama dan undang-undang mereka. Mungkin kita tidak boleh memaksa orang-orang bukan Islam mengikut undang-undang Islam di Malaysia akan tetapi kita harus cuba menunjukkan baiknya undang-undang Islam dan pentadbirannya supaya mereka sendiri sedia minta dibicarakan di Mahkamah Syariah mengikut unndang-undang Islam.

Oleh kerana rakyat Malaysia, termasuk orang-orang Islam, belum yakin mengenai perundangan hukuman Islam, agaknya sukar hendak mengadakan Akta atau Enakmen untuk  melaksanakan undang-undang hukuman itu. Menurut Perlembagaan Malaysia Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan yang tidak disebut di dalam senarai Persekutuan dan setakat yang diberi oleh Undang-Undang Persekutuan. Pada masa sekarang Akta Mahkamah Syariah [Bidangkuasa Jenayah]  1965 seperti yang dipinda pada tahun 1984 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa apabila kesalahan itu boleh dihukum dengan penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak lebih dari $5000/- atau sebat lebih dari enam pukulan. Ini bermakna untuk membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan kes-kes hudud, qisas dan diyat perlu dipinda Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan memansokhkan Akta Mahkamah Syariah [Bidangkuasa Jenayah] itu. Satu lagi cara ialah dengan Parlimen di peringkat Persekutuan meluluskan Akta Hudud, Qisas dan Diyat bagi Wilayah-wilayah Persekutuan dan Akta boleh diperluaskan dan diterima pakai di negeri-negeri dalam Malaysia. Memandangkan kepada kedudukan Perlembagaan dan undang-undang di Malaysia, adalah dicadangkan diadakan Kompilasi Undang-Undang Hudud, Qisas, Diyat dan Taazir untuk menerangkan undang-undang itu. Kompilasi itu boleh dibuat oleh Majlis Agama Islam dan diperkenankan oleh Yang di Pertuan Agung atau Sultan di negeri-negeri di Malaysia. Jika dibolehkan kompilasi itu dikanunkan sebagai Akta atau Enakmen, ia boleh diluluskan oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri akan tetapi dicadangkan penguatkusaannya ditangguhkan hingga semua yang perlu disiapkan untuk penguatkuasaan itu”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s