Mahkamah sivil, syariah tidak harus bersaing November 30, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
dari Berita Harian 30 November 2009
Pemahaman garis panduan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu bagi elak pertembungan
BANYAK isu perundangan Islam dipaparkan dalam media sejak kebelakangan ini dan ia bagaikan tiada kesudahan. Pelbagai pihak tidak mahu ketinggalan untuk membincang dan membahaskannya meskipun sesetengahnya tidak terdidik dalam bidang berkaitan. Kerana terlalu teruja dan berhujah berasaskan akal fikiran semata-mata, maka mereka mengetepikan hukum syarak yang digariskan Allah dan Rasulnya.
Terbaru, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan membantah cadangan yang membolehkan perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Beliau juga mahu mengenakan larangan kepada mualaf mendaftarkan penukaran agama anak yang berusia 18 tahun.
Menurutnya, agama seorang anak patut kekal seperti waktu ibu dan bapa mereka melangsungkan perkahwinan sehingga anak terbabit membuat keputusan memilih sendiri agama yang mahu dianuti apabila mencecah usia 18 tahun.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abd Ralip pula dengan tegas menyatakan, apabila seseorang itu memeluk Islam dengan kerelaannya sendiri, dia hendaklah ditadbir undang-undang Islam. Sudah tiada pilihan lagi dan tiada juga pilihan bagi orang Islam memilih undang-undang mana ingin dikawal.
Memang jelas kedua-dua pandangan di atas, bertentangan antara satu sama lain. Senario ini bukan baru berlaku, malah sudah kerap kali terjadi sehinggakan Majlis Peguam sendiri dilihat sebagai suatu badan yang bersifat anti-Islam oleh umat Islam arus perdana.
Sama ada perspektif ini betul atau sebaliknya, hanya Majlis Peguam dapat menjelaskannya dengan terperinci tetapi itulah lakaran yang digambarkan oleh Majlis Peguam kepada umat Islam. Sebagai seorang peguam bela dan peguam cara, dan juga peguam syarie, saya dapat mengkaji kedua-dua aspek undang-undang ini.
Sering kali saya menegaskan mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak harus bersaing antara satu sama lain, sebaliknya hendaklah saling lengkap melengkapi dalam segala aspek.
Oleh itu, segala undang-undang yang hendak digubal wajar mengambil kira untuk mengelakkan pertembungan ini. Suatu garis jelas yang tidak meminggirkan Perlembagaan Persekutuan patut digarap dan piawaian yang tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan itu, hendaklah mantap.
Amat jelas Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3. Malah agama bagi negeri-negeri di Malaysia mengikut perlembagaan negeri-negeri juga adalah Islam.
Islam dalam konteks perlembagaan ini mestilah diberi tafsirannya yang sebenar, bukan tafsiran Islam seperti difahami orang jahil. Sudah menjadi asas kaedah penafsiran perlembagaan memberikan makna sebenar sesuatu perkataan di dalam perlembagaan itu. Dalam hal yang demikian, bermakna Islam itu secara harfiah atau literal sebagai penyerahan diri kepada Allah dan suatu cara hidup yang sempurna.
Lantas, mengambil Islam dalam aspek yang tertentu saja, tidak tepat dan bertentangan dengan perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi sekiranya kita mengambil suatu kedudukan yang bertentangan dengan agama Islam, sudah tentulah ia juga pincang daripada sudut perlembagaan. Pemakaian Islam tidak harus dihadkan kepada perkara tertentu kerana ia mencakupi perkara yang lebih luas lagi.
Seperti yang sering diperkatakan, tiada seorang pun mualaf yang dipaksa memeluk Islam. Mereka memeluk Islam atas kerelaan sendiri walaupun tujuan yang pelbagai. Malah Islam sendiri tidak mengiktiraf keIslaman seseorang yang dipaksa memeluk Islam.
Oleh itu, tatkala mualaf terbabit memeluk Islam, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri menjamin haknya untuk mengamalkan agama barunya itu. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap orang menganut dan mengamalkan agamanya. Sekiranya mualaf ini masih lagi dipaksa, dikawal oleh undang-undang yang bertentangan dengan agama barunya itu, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan akan hanya menjadi retorik dan tidak mampu dipertahankan. Begitu juga kedudukan pengIslaman kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya yang mualaf. Perkara ini juga jelas di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Malah Perkara 12(4) itu sendiri ditafsirkan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ‘Subahsini vs Saravan @ Mohd Shafi’ beberapa tahun lalu. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 12(4) itu hanya memerlukan salah seorang ibu, bapa atau penjaga yang sah saja mendaftar keislaman anak kecil di bawah 18 tahun.
Ia tidak memerlukan ibu, bapa atau anak berkenaan kekal di dalam agama asalnya. Sekiranya kedudukan ini hendak diubah, maka Perlembagaan Persekutuan itu perlu dipinda dan bukan dengan mengadakan undang-undang baru yang bertentangan dengan perlembagaan dan tafsiran Mahkamah Persekutuan.
Kemelut ini tidak dapat dinoktahkan sekiranya skima perlembagaan tidak jadi penanda aras bagi menyelesaikannya. Kedua belah pihak perlu akur dengan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan.
Walaupun Islam diletakkan di tempat istimewa, agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Malah tidak ada seorangpun boleh dipaksa menukar agama mereka kepada Islam menurut undang-undang. Undang-undang Islam juga melarang orang bukan Islam dipaksa memeluk Islam kerana tiada paksaan di dalam beragama. Saranan Majlis Peguam supaya mereka dipanggil untuk berbincang jalan penyelesaian polemik ini adalah baik kerana Majlis Peguam adalah badan bertanggungjawab menegakkan undang-undang.
Bagaimanapun sekiranya Majlis Peguam berhasrat mencampuri urusan dalaman agama Islam atau hal-ehwal antara agama Islam itu sendiri, sudah tentu umat Islam tidak akan duduk diam kerana kegusaran terhadap tindakan Majlis Peguam sebelum ini memang mempunyai asas kukuh. Sebagai sebuah badan perundangan, Majlis Peguam perlu bersikap adil dan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
Persenda Islam boleh jejas keharmonian November 9, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
Dipetik dari Berita Harian
Oleh Zainul Rejal Abu Bakar
Laungan azan oleh pelajar di gereja timbulkan keraguan masyarakat pelbagai kaum
TINDAKAN sekumpulan pelajar sekolah menengah di Betong, Sarawak baru-baru ini merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah termasuk melaungkan azan dalam sebuah gereja, boleh menimbulkan kekeliruan dan masalah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sebagai rakyat yang mentaati undang-undang, seseorang itu hendaklah menghormati sentimen dan agama orang lain. Timbul soal apakah sekolah yang menjadi pusat pendidikan pelajar berkenaan gagal menyemai sikap toleransi dan saling hormat antara satu sama lain atau adakah ibu bapa pelajar tidak mendidik anak mereka ke arah itu?
Akibat tindakan itu, umat Islam diseru bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sebenarnya memang kebiasaannya umat Islam bertenang di dalam perkara begini. Namun hakikatnya umat Islam menagih supaya tindakan yang adil diambil terhadap orang yang mencabuli kesucian agama Islam.
Siasatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) mungkin tidak dapat mencapai matlamatnya kerana pelaku kesalahan itu, orang bukan Islam. Jais hanya boleh menyiasat terhadap orang Islam dan mendakwa mereka di Mahkamah Syariah yang hanya ada dalam bidang kuasa kes jenayah terhadap orang yang menganut Islam.
Dalam hal ini, siasatan Jais hanya menjadi persoalan akademik dan tinggal sebagai siasatan saja. Sebenarnya pihak polis yang perlu mengadakan siasatan dan menyiasat kes berkenaan. Sekiranya benar, ada kesalahan dilakukan, maka mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang tidak mengasingkan orang Islam dan orang bukan Islam.
Kesalahan yang dilakukan itu adalah amat serius dan mengguris hati umat Islam. Selama ini umat Islam amat berhati-hati dan tidak mendokong sebarang usaha menghina agama selain Islam. Malah, dalam banyak keadaan, umat Islam sendiri menyokong mana-mana orang Islam yang menghina agama bukan Islam agar disiasat dan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka.
Pihak berkuasa juga didapati amat cekap apabila kesalahan berkenaan dilakukan orang Islam tetapi sebaliknya terlalu banyak birokrasi jika dilakukan orang bukan Islam. Ini terbukti misalnya di dalam kes perarakan kepala lembu baru-baru ini, bukanlah saya menyokong perarakan itu tetapi hanya menzahirkan contoh perbezaan darjah tindakan yang diambil pihak berkuasa.
Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera di dalam kes menghina agama Islam itu.
Perkara sebegini amat tidak wajar berlaku di mana-mana bahagian negara ini. Yang lebih menyedihkan ialah Sarawak adalah salah satu daripada empat negeri di Malaysia yang masih belum meluluskan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Negeri lain yang masih belum meluluskan undang-undang itu ialah Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan.
Walaupun undang-undang ini tidak dapat membendung penghinaan terhadap agama Islam seperti diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan, dengan wujudnya undang-undang itu ia akan dapat memberi panduan kepada orang bukan Islam agar tidak mencemarkan kesucian agama Islam atau cuba mendakyah orang Islam.
Ia sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai ‘Agama Persekutuan’ seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji beberapa tahun lalu bahawa keempat-empat negeri itu akan menggubal undang-undang kawalan berkenaan tetapi sehingga kini walaupun bertukar pucuk pimpinan, undang-undang itu masih lagi menjadi impian umat Islam di negeri berkenaan.
Berbalik kepada penghinaan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar di Betong itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka melakukan kesalahan terbabit. Sekiranya tindakan gagal diambil seolah-olah ia akan menjadi manifestasi diskriminasi terhadap orang Islam. Perkara sedemikian juga sebenarnya menunjukkan kegagalan sistem pendidikan kita menyemai sifat saling menghormati antara satu sama lain.
Mungkin prasarana pendidikan kita yang mengasingkan pelajar mengikut bangsa dan agama menjadikan timbul persepsi negatif antara satu sama lain. Walaupun disuarakan pembentukan sekolah satu aliran, ia masih sukar dilaksa-nakan kerana sebahagian kita masih lagi melihat sekolah aliran jenis kebangsaan itu dalam konteks mikro saja.
Mereka tidak melihatnya daripada aspek lebih besar iaitu keperluan menyemai fikrah yang sama dan saling bekerjasama dan mengenali antara satu sama lain.
Natijahnya, rakyat Malaysia daripada bangsa tertentu akan mempunyai keraguan terhadap rakannya daripada kalangan bangsa yang lain walaupun selalunya keraguan itu tidak dizahirkan. Tetap jauh di lubuk hati mereka terpahat sikap gusar dan tidak mempercayai antara satu sama lain.
Sekali lagi saya meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap sesiapa saja yang mencemar hubungan baik antara agama dan memperlekehkan mana-mana agama. Seharusnya keharmonian dan keamanan yang kita sudah kecapi ini dipertahankan bukan dirobek serta diperkotak-katik.
Penulis ialah peguam bela, peguam cara dan peguam syarie dan boleh dihubungi melalui e-mel zainul.rijal@abubakar.my
CID Bukit Aman Ambil Kenyataan SIS Mengenai Isu Kartika November 5, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Dua wakil dari Sisters in Islam (SIS) memberi kenyataan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman pada Rabu mengenai laporan polis terhadap kenyataan SIS di Kuantan yang mempersoal hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno.
Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican dan ahli lembaganya Zainah Anwar dipanggil memberi kenyataan mereka bagi siasatan di bawah Seksyen 4(i) (a) Akta Hasutan oleh CID pada 10.35 pagi.
Mereka, yang diiringi oleh peguam, berada hampir dua jam di Bahagian Pendakwaan Undang-undang CID, kata Pengurus Program (Penyelidikan dan Penerbitan) SIS Masjaliza Hamzah.
“SIS harap selepas merekod kenyataan ini, polis akan memperakukan bahawa tidak ada tindakan lanjut diambil terhadap organisasi itu.
“Kami ingin menegaskan bahawa dalam kerangka sebuah masyarakat demokratik, perlu ada dialog terbuka, bertanggungjawab, rasional dan yang dihormati mengenai Islam dan impaknya ke atas kehidupan kita – peribadi dan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut laporan media, 14 badan NGO di Pahang baru-baru ini menggesa pihak berkuasa menghukum mereka yang mempersoal hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi.
Kartika Sari Dewi, wanita pertama yang dihukum sebat oleh Mahkamah Syariah kerana kesalahan meminum alkohol di sebuah hotel di Kuantan tahun lepas, menyatakan kesediaan menerima hukuman itu.
Kartika juga didenda RM5,000.
– BERNAMA
Mubaligh Kristian aktif di penempatan Orang Asli October 26, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
KOTA BHARU 25 Okt. – Kerajaan negeri menyedari kehadiran ramai mubaligh Kristian yang memasuki beberapa penempatan Orang Asli di negeri ini untuk menyebarkan fahaman mereka secara aktif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, usaha yang dilakukan itu semakin berleluasa ketika ini dan sukar dibendung.
Jelasnya, kerajaan negeri sejak sekian lama telah menjalankan beberapa dasar termasuk melatih kalangan Orang Asli sebagai ustaz dan diberi bayaran elaun untuk menyebarkan dakwah di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun katanya, kekangan kewangan yang dihadapi menyebabkan tidak semua penempatan tersebut dapat dimasuki.
“Kita mengakui memang banyak usaha penganut agama lain menyebarkan fahaman mereka di beberapa pos Orang Asli di seluruh negeri.
“Malah ada beberapa kawasan yang sangat jauh dan memakan masa sehingga lima jam berjalan kaki pun mereka sudah sampai sedangkan kita sendiri belum pernah ke tempat itu,” katanya.
Mohd. Amar menjawab soalan lisan Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang membangkitkan isu tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mohd. Amar berkata, mubaligh-mubaligh Kristian mempunyai sokongan dana yang kuat untuk melancarkan aktiviti mereka sehingga ke kawasan yang sukar dijejaki.
Selain itu katanya, golongan itu mempunyai kesanggupan untuk berkahwin dengan pasangan Orang Asli dan tinggal bersama bagi memudahkan penyebaran ajaran agama mereka.
Sehubungan itu Mohd. Amar berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian insentif sebanyak RM10,000 kepada mana-mana lelaki Islam di negeri ini yang sanggup berkahwin dan tinggal dengan masyarakat Orang Asli.
“Insentif ini masih ada sampai sekarang selain banyak lagi usaha kita seperti memilih golongan ini menjadi peserta ladang rakyat dan diberi bayaran elaun,” tambahnya.
petikan: Utusan Malaysia
Memorandum Bantahan NGO-NGO Islam Terhadap SIS/JAG/WAO October 16, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
MEMORANDUM BANTAHAN NGO-NGO ISLAM TERHADAP TUNTUTAN BIADAP SIS, JAG, WAO DAN KONCO-KONCO MEREKA UNTUK MENGHAPUSKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH
(A) Latarbelakang
Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang disertai oleh SIS dan WAO serta konco-konco mereka melaui memorandum kepada YAB Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika bertarikh 25 OGOS 2009 telah mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri MEMANSUHKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri (Sila rujuk sinchew.com untuk memorandum penuh mereka bertajuk “Justice for Kartika”
Tuntutan biadap ini telah diulangi lagi hari ini sebagaimana yang tersiara dalam The Star hari ini 1 Oktober 2009, Ivy Josiah, Pengarah Esksekutif WAO berkata –
“We urge the Federal and State governments to conduct comprehensive review of all laws pertaining to Syariah criminal offences with a view to repeal such laws.”
Memorandum sebegini juga pernah dikemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh lebih 300 individu dan NGO termasuk Menteri-Menteri Kabinet dan ahli politik beragama Islam yang sedang berkhidmat supaya kawalan moral melalui penguatkuasaan undang-undang Syariah dihapuskan.
(B) TINDAKAN SIS, JAG, WAO DAN KONCO-KONCO MEREKA INI ADALAH TINDAKAN BIADAP, kerana :-
- Menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara dan agama Negeri-Negeri serta perundangan Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Kanun Undang-Undang Negeri-Negeri Melayu)
- Menyentuh dan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri-Negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan ;
- Menghina hukum Syarak yang sedang berkutakuasa melalui Enakmen-Enakmen Negeri, DAN
- Mengguris perasaan dan sensitivity beragama umat Islam
NGO-NGO ISLAM DENGAN INI SECARA SEBULAT SUARA MENDESAK :-
1. MENDAKWA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT DENGAN TUNTUTAN MEMORANDUM YANG BERSIFAT MENGHASUT TERSEBUT.
2. MENYIASAT SUMBANGAN DANA YANG DITERIMA OLEH NGO-NGO INI TERUTAMANYA DARI PERTUBUHAN-PERTUBUHAN ATAU ORANG PERSEORANGAN LUAR NEGARA BAGI MEMBIAYAI KEGIATAN MEREKA YANG BERSIFAT MENGHINA AGAMA ISLAM DAN SETERUSNYA MENGHARAMKAN PERTUBUHAN BERKENAAN.
3. MEMBATALKAN PERMIT PENERBITAN AKHBAR DAN MEDIA YANG MENYUARAKAN PANDANGAN BERSIFAT MENGHASUT UNTUK MENGHAPUSKAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH NEGERI-NEGERI ATAU YANG MENGHINA AJARAN ISLAM (The Star 13 September 2009)
4. MENDESAK MENTERI KABINET DAN PEGAWAI TINGGI KERAJAAN YANG ENGGAN MENERIMA KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA DAN YANG MENYOKONG TUNTUTAN NGO-NGO YANG MEMPERTIKAIKAN KEDUDUKAN SYARIAT ISLAM SUPAYA MENGUNDURKAN DIRI.
5. BERTEGAS DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH MEMELIHARA AJARAN ISLAM DAN KEDUDUKAN AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA SELARAS DENGAN SUMPAH YDP AGONG SEBAGAIMANA YANG TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.
6. MENGHORMATI KEBEBASAN MAHKAMAH SYARIAH DAN TIDAK MENCAMPURI URUSAN KEADILAN DI MAHKAMAH SYARIAH.
1 OKTOBER 2009
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
PUM gesa kaji undang-undang syariah elak diperlekeh October 11, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa kerajaan mengkaji semua Undang-undang Kanun Jenayah Syariah negara supaya menepati tuntutan syariat serta hukuman Islam sebenar serta tidak diperlekeh pihak tertentu.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Salleh Ahmad, berkata undang-undang Islam lebih adil kerana tidak menzalimi seseorang, sebaliknya lebih kepada mendidik dan memberi pengajaran, termasuk apabila membabitkan hukuman sebat.
Katanya, musuh Islam juga sentiasa mencari peluang memburukkan Islam dengan mendakwa undang-undang syariah seperti hukum sebat zalim dan ganas seperti isu hukuman rotan dikenakan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno yang turut ditentang badan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan oleh orang Islam sendiri.
“Kita (PUM) menggesa kerajaan kaji semula undang-undang (syariah) sedia ada kerana dari segi pelaksanaannya, ia sebenarnya belum cukup Islamik.
“Dalam Islam hukuman ke atas orang Islam melakukan kesalahan jenayah minum arak, minimum hukuman rotan ialah 40 kali bukan enam sebatan, tetapi bukan bertujuan mencederakan seperti sebatan mengikut undang-undang sivil,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan hukuman syariah dan isu berhubung menghina Islam selepas Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitri anjuran PUM di Masjid al-Muhsinin di sini, semalam.
Mengenai tindakan pihak tertentu di Indonesia mahu melancarkan perang ke atas Malaysia dan membakar bendera negara ini, Salleh berkata tindakan itu hanya dilakukan kumpulan kecil saja yang tidak direstui kerajaan mereka.
“PUM percaya golongan ulama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di republik itu juga tidak bersetuju dengan perbuatan itu kerana mereka menyedari ramai rakyatnya bekerja di Malaysia dan mendapat layanan baik,” katanya.
Komen dari ‘Rasul Melayu’ September 16, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Abdul Kahar Ahmad, ajaran sesat, JAIS, Rasul Melayu
add a comment
Di awal pagi tadi blog ini menerima komen dari seorang yang mengaku Kahar ‘Rasul Melayu’. Dengan komen yang panjang lebar serta menyesatkan kami tidak dapat siarkan. Turut serta diberi alamat blognya.
Alhamdulillah, sepertimana yang telah dilaporkan dalam posting di bawah, kini dia ditahan di Penjara Kajang sehingga tarikh pembicaraan.
Syabas di atas tindakan pantas JAIS.
Rasul Melayu Bakal Beraya Dalam Penjara September 16, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Abdul Kahar Ahmad, ajaran sesat, JAIS, Rasul Melayu
1 comment so far
SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) — Selepas tiga tahun mengelak daripada dibicarakan, ketua ajaran sesat ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, bakal menyambut Aidilfitri dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini , Rabu memerintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.
Mahkamah turut menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.
Abdul Kahar ditahan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang.
Terdahulu, Abdul Shukor berkata kehadiran Abdul Kahar di mahkamah bukan atas kerelaan atau kesedarannya tetapi kerana telah ditangkap oleh penguatkuasa Jais, dan oleh itu, mahkamah perlu mengeluarkan waran tahanan terhadapnya sehingga tarikh perbicaraan akan datang pada 7 Okt ini.
“Tertuduh banyak kali mengelak untuk hadir ke mahkamah. Walaupun tindakan menahan tertuduh boleh memudaratkan kesihatannya tetapi mahkamah perlu pandang satu lagi kemudaratan lebih besar (iaitu) kepada agama Islam jika tertuduh dijamin,” katanya.
Abdul Kahar mendakwa kegagalannya hadir pada perbicaraan sebelum ini disebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh sehingga terpaksa melarikan diri.
Tertuduh berkata sehingga kini dia juga masih gagal mendapatkan khidmat peguam dan memohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk mencari peguam bagi mewakilinya.
“Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dijamin bagi membolehkan saya menyambut hari raya bersama keluarga. Saya bukan nak mengelak tetapi takut dengan ugutan bunuh dan sekiranya saya ditahan saya tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab saya kepada keluarga.
“Saya berjanji jika saya dijamin saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan termasuk sebar risalah dan juga akan menghadiri perbicaraan,” katanya.
Peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar ketika merujuk dakwaan ugutan bunuh yang diterima tertuduh berkata, sekiranya tertuduh ditahan dalam penjara, keselamatannya akan terjamin kerana akan dikawal sepanjang masa berbanding jika dia berada di luar tahanan.
Abdul Kahar dituduh telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai “rasul orang Melayu di zaman ini” sedangkan pernyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Dia juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar, dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.
Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari dan melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.
Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: “Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan” dan “Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi”.
Abdul Kahar juga dituduh menyebarkan pendapat dan ajaran, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.
Tertuduh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman bernombor 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.
– BERNAMA
‘Malay Prophet’ nabbed for deviant teachings September 16, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
dari The Star
SHAH ALAM: The Syariah High Court issued a detention order against self-proclaimed “Rasul Melayu” (Malay Prophet) Abdul Kahar Ahmad for alleged deviant teachings pending a hearing on Oct 7.
Syariah Judge Abu Zaky Mohammad made his ruling on Wednesday after finding Abdul Kahar guilty of failing to appear in court after being first charged at the Syariah High Court here in 2005 for five charges under the Selangor Syariah Criminal Enactment.
The detention order is only valid for eight days, so the judge fixed Sept 24 for mention to enable the prosecution to apply for an extension of his detention, The Star’s Malay portal mStar reported.
Abdul Kahar, 59, was detained by the Selangor Religious Affairs Department at his house near Sungai Long, Kajang at about 9.45am Wednesday.
He is now being held at the Sungai Buloh Prison.
During Wednesday’s proceedings, Abdul Kahar — who was not represented by any counsel — pleaded for the court to allow him out on bail so that he can celebrate Hari Raya with his family until the hearing date.
The judge did not allow bail.
Kisah Mariam dijadikan iktibar – Nooh Gadut September 14, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.add a comment
dipetik dari – http://utusan.com.my
![]() |
JOHOR BAHRU 7 Sept. – Kisah hidup wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, dan meninggal dunia di sana wajar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua pihak.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, umat Islam khususnya generasi muda sepatutnya meletakkan akidah dan agama melebihi segala-gala daripada cinta dan kasih sesama manusia.
Beliau berkata, ini kerana sayang kepada agama kekal di dunia dan akhirat manakala cinta kepada manusia hanya bertahan sementara waktu sahaja.
”Anak-anak muda jangan mengikut perasaan untuk melarikan diri dari rumah dan berhijrah ke luar negara walaupun tindakan itu mempunyai sebab.
”Sebelum membuat apa keputusan, ibarat pepatah Melayu, tepuk dada tanya iman dan bukannya tepuk dada tanya selera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kematian Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang meninggal dunia ketika tidur pada Sabtu lalu selepas kira-kira empat bulan tidak sihat.
Anaknya, Jelani Sonni, 72, mendakwa ibunya itu telah membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan agar dikebumi secara Kristian.
Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921 berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan.
Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.
Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu.
Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007.
Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007.
Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.
Mengulas lanjut, Nooh berkata, golongan wanita dan gadis remaja tidak harus cepat termakan pujuk individu lain terutamanya yang bukan seagama kerana kebiasaannya terdapat ‘udang di sebalik batu’.
Beliau berkata, sekiranya terdapat hasrat untuk berhijrah ke negara lain, golongan itu sepatutnya memastikan negara tersebut memiliki persamaan daripada segi agama, budaya dan makanan dengan Malaysia.
”Bagi keluarga yang ditakdirkan kehilangan anak, isteri atau suami, saya menasihatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan ahli keluarga walau di mana mereka berada.
”Jangan sesekali mereka berputus asa dan jika terdapat kesilapan daripada pihak keluarga, perkara itu patut diperbetulkan dengan segera dan jangan lupa merujuk kepada Allah SWT dan melakukan solat hajat setiap malam,” katanya.
Nooh turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu saluran khas bagi rujukan kes yang dihadapi oleh keluarga yang kehilangan anak gadis terutamanya ke luar negara.
