Pelaksanaan Hukum Hudud Hanya Untuk Orang Islam

dipetik dari: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=380641

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) — Masyarakat bukan Islam tidak seharusnya berasa bimbang jika hukum Hudud dilaksanakan di negara ini kerana pelaksanaannya hanya melibatkan kalangan yang beragama Islam, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata golongan bukan Islam sebaliknya boleh memilih undang-undang yang mereka mahu seperti yang telah tertulis dalam Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu.

“PAS tak perlu terangkan (tentang hukum Hudud) kerana undang-undang ini tiada kena mengena dengan orang bukan Islam. Pada kita, tidak timbul lagi soal Hudud kerana ia telah diluluskan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Kelantan sejak tahun 90-an lagi dan di Terengganu pula telah diwartakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen ‘Jom Sertai Pas’ di Dataran Shah Alam di sini, Sabtu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan memberi penerangan kepada pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang masih kurang senang dengan hasratnya untuk melaksanakan hukum Hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa akan datang.

Ditanya sama ada PAS akan membawa usul mengenai pelaksanaan hukum Hudud di Parlimen untuk dibahaskan, beliau berkata belum tiba masanya untuk berbuat demikian.

Abdul Hadi dalam pada itu mengakui sukar untuk melaksanakan hukum Hudud di negara ini kerana ia hanya boleh dilakukan jika rakyat negara ini berada dalam keadaan yang stabil.

“Masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s