Sultan Perak Memang Murka

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memang murka dengan tindakan wakil rakyat pembangkang mengenakan pakaian hitam semasa perasmian Sidang DUN pada Selasa.

Sehubungan itu, Dr Zambry mengherdik wakil rakyat pembangkang yang masih mempersoalkan kesahihan kemurkaan tuanku dan mendakwa kononnya beliau dan Speaker DUN yang membuat interpritasi sendiri.

“Saya terkejut dengan soalan mereka bertanya apakah tuanku benar-benar murka ataupun tidak, saya nak jawablah, tuanku murka lah, senang saya cerita. Sebab kalau tidak, dalam soalan Dewan tadi kata, tuanku tidak murka langsung,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Sebelum ini, dalam usaha mempertahankan tindakan mereka berpakaian hitam pada hari pertama Sultan Nazrin merasmikan Sidang DUN sebagai Sultan Perak, wakil-wakil rakyat pembangkang mendakwa bahawa baginda sebenarnya tidak murka.

Sebaliknya mereka menuduh pihak Menteri Besar, Speaker DUN dan wakil rakyat kerajaan menggunakan nama tuanku untuk menutup isu-isu lain.

Dr Zambry berkata, beliau sendiri bersama dengan Sultan Perak semalam dan selepas perasmian tuanku sepatutnya berangkat ke bilik diraja untuk santapan ringkas, kemudiannya turun mencemar duli untuk bergambar bersama dengan wakil-wakil rakyat, seterusnya menerima mengadap dan bersalam setiap wakil rakyat seperti tradisinya.

“Tapi apabila keadaan sebegitu semalam, habis saja titah ucapan, terus tuanku memaklumkan kepada saya, tuanku perlu berangkat pulang.

“Takkan yang itupun kita tidak faham dan ada di antara mereka yang berkata, tuanku tidak murka, takkanlah kita tidak faham apabila tuanku bertindak begitu,” ujarnya.

Menteri Besar mengulangi rasa kecewanya dengan tindakan wakil rakyat pembangkang pada hari bersejarah yang akan menjadi lipatan sejarah, termasuk sejarah hitam yang dilakukan pembangkang.

Sambil menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai biadap dan tidak menghormati institusi raja, beliau menempelak mereka kerana masih cuba menegakkan benang basah.

“Saya ingin bertanya, jika mereka benar-benar ikhlas, kenapa dibuat semalam, bukan hari ini. Mereka ada empat hari lain tetapi kenapa pada hari pertama.

“Kalau membantah mengenai GST, kenapa tidak dilakukan hari ini kerana GST dilaksanakan hari ini,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s