PEMBELA serah memorandum, desak Menteri kurangkan pengaruh MCCBCHST dalam JKMPKA

pembela serah memo kepada jamil khir

BANGI, Khamis – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom mendesak agar dikurangkan pengaruh Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) dalam Jawatankuasa Mempromosi Perpaduan dan Keharmonian Antara Agama atau JKMPKA.

Memo tu diserahkan oleh Pengerusinya, Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dalam ‘Majlis Dialog bersama NGO Islam’ beserta majlis berbuka puasa di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, kelmarin.

Bercakap kepada Ismaweb, tujuan memo itu adalah untuk mempertahankan kedaulatan agama Islam dan memudahkan agenda persefahaman dan harmoni di kalangan ahlinya.

Ini berikutan sejak penubuhannya, wakil Islam dalam JKMPKA menjadi semakin lemah. JKMPKA telah menghadapi halangan untuk meneruskan kerjasama erat atau membuat kuputusan berkaitan isu sensitif berkaitan agama Islam.

Antaranya isu murtad, hak penganut agama Islam, kuasa Jabatan Agama Islam, hak bukan Islam, rumah ibadat, kalimah Allah, Bible Bahasa Melayu dan lain-lain lagi.

“Dari aspek etika, ahli MCCBCHST sering tidak menghormati keputusan mesyuarat JKMPKA berkaitan isu yang dekat di hati umat Islam dan wakil Kristian memboikot mesyuarat dan program JKMPKA.

“MCCBCHST juga tidak menghormati kedudukan Islam dalam perlembagaan melalui media dan yang lebih penting bagi wakil Islam dalam JKMPKA adalah penghakisan atau penerusan pengurangan suara wakil NGO Islam dalam JKMPKA,” katanya.

JKMPKA semasa ditubuhkan terdiri daripada perbincangan dua gabungan NGO-NGO agama yang berpengaruh iaitu ACCIN dan MCCBCHST. Ia dianggap oleh kerajaan boleh mewakili sebilangan besar penduduk beragama masing-masing.

Sebaliknya, MCCBCHST bergerak sebagai satu kumpulan agama dan bukan sebagai sesebuah agama.

“Jika mana-mana agama ada konflik dengan Islam, semua pemimpin agama dalam MCCBCST akan mempertahankan kumpulan agama itu walaupun konflik itu tiada kaitan dengan agama mereka.

“Contohnya dalam isu Bible Bahasa Melayu, gereja dan kalimah Allah yang tiada kena mengena dengan Buddha, Taoist, Hindu dan Sikh tetapi MCCBHCST sebagai persatuan pula sibuk menentang keputusan Majlis Agama Islam,” ujarnya.

Jelas Ustaz Hafiz lagi, majoriti ahli MCCBCHST terutamanya Kristian dan Buddha adalah pro pembangkang dan dipengaruhi oleh badan antikerajaan seperti Bar Council, BERSIH dan COMANGO.

“Justeru, setiap kali ada isu yang menyentuh umat Islam yang akan menimbulkan ketegangan rakyat, isu itu akan diusulkan ke mesyuarat JKMPKA untuk dibincang serta diputuskan.

“Keputusan itu sepatutnya hanya untuk perhatian ahli JKMPKA sahaja, tetapi MCCBCHST selalunya akan mengeluarkan kenyataan media membelakangkan JKMPKA.

“Sekaligus perkara itu akan menghangatkan keadaan serta menyusahkan wakil Islam dalam JKMPKA untuk berhadapan dengan umat,” katanya.

Susulan penyerahan memo ini, Pembela mengharapkan pihak menteri memastikan pelantikan baru dalam JKMPKA kelak dibuat dengan adil.

“Menteri perlu memastikan jumlah ahli dalam kalangan Islam yang dilantik adalah sama banyak dengan bukan Islam.

“Sewajarnya pelantikan mewakili agama masing-masing tidak mewakili semua agama atau pertubuhan agama seperti ACCIN dan MCCBCHST,” tambahnya.

JKMPKA adalah satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) (Jabatan Perdana Menteri), hasil keputusan jemaah menteri pada 24 Februari 2010, bertujuan membantu kerajaan mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara agama di Malaysia demi meneruskan usaha menjalin perhubungan dan menjaga keamanan serta kestabilan sosial.

Leave a comment