Majlis agama, Macma rujuk ke Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tujuh majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) mahu merujuk persoalan undang-undang berhubung isu larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald – The Catholic Weekly ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Mubashir Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini, perkara itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi menentukan isu perlembagaan yang timbul.

Menurutnya, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan isu tersebut, barulah Mahkamah Tinggi boleh menentukan sama ada ia boleh mendengar dan seterusnya membuat keputusan dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Gereja Katolik.

”Oleh itu, kami bercadang meminta mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan semakan kehakiman tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan,” kata Mubashir.

Berikutan perkembangan itu, Hakim Lau Bee Lan meminta Mubashir yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memfailkan hujahan bertulis sebelum membenarkan penangguhan.

Sementara itu, peguam Jagjit Singh mewakili Majlis Gurdwara Malaysia juga memohon penangguhan singkat agar isu itu dapat diselesaikan melalui campur tangan kerajaan.

Menurut beliau, ia pernah dilakukan oleh kerajaan negeri Perak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri pada tahun 1988 ketika isu yang sama timbul di negeri tersebut.

Jagjit turut memberitahu, beliau akan mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk memberi pandangan supaya kes itu tidak menjadi konfrontasi, sebaliknya ia diselesaikan secara baik.

Hakim Bee Lan kemudian menetapkan 27 Februari tahun depan untuk sebutan semula bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit yang diperlukan sebelum permohonan tersebut didengar.

Terdahulu, hakim tersebut membenarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), MAIDAM, MAIPP, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Johor, MAIM dan Macma yang memohon sebagai pencelah dinamakan sebagai responden ketiga hingga ke-10 dalam semakan kehakiman tersebut.

Pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran membuat semakan kehakiman (undang-undang) untuk mencabar larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan, Herald – The Catholic Weekly.

Gereja Katolik menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (kini telah digabungkan dengan portfolio Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menjadi Menteri Dalam Negeri) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Pada 5 Mei lalu, mahkamah tersebut membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan tersebut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s