KENYATAAN MEDIA (PENUH) BERHUBUNG CADANGAN DERAF RANG UNDANG-UNDANG BAGI MENGGANTIKAN AKTA HASUTAN 1948

KENYATAAN MEDIA (PENUH) BERHUBUNG CADANGAN DERAF RANG UNDANG-UNDANG BAGI MENGGANTIKAN AKTA HASUTAN 1948

10 Jun 2014 bersamaan 12 Syaaban 1435

Sidang akhbar ini diadakan setelah satu kata sepakat dipersetujui dan dicapai antara NGO-NGO Islam di dalam persidangan meja bulat yang telah diadakan sebentar tadi. Tujuan sidang akhbar ini ialah bagi menyatakan pendirian NGO-NGO Islam yang telah bersepakat berkumpul pada hari ini sebagai satu suara berkongsi keprihatinan terhadap perkembangan terkini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri pada 30 Mei 2014 berkenaan hasrat kerajaan memperkenalkan akta baharu yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 [Akta no. 15].

 

YB Nancy mengesahkan telah menerima tiga deraf rang undang-undang berkaitan iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill) dan kini sedang dalam penelitian Pejabat Peguam Negara.

 

Pihak kami telah berpeluang meneliti ketiga-tiga deraf rang undang-undang yang dimaksudkan dan membawanya kepada perbincangan lebih mendalam. Melalui hasil perbincangan yang dijalankan, pihak kami mendapati terdapat dua bentuk perkara yang menimbulkan perasaan resah kami terhadap soal Kedaulatan Undang-Undang Negara.

 

Pertama, cara bagaimana deraf undang-undang ini dibuat dan dicadangkan.

 

Kedua, isikandungan yang terdapat di dalam deraf undang-undang yang dibuat serta dicadangkan.

 

Untuk yang pertama, pihak kami mendapati kaedah penggubalan ketiga-tiga rang undang-undang ini bertentangan dengan norma penggubalan undang-undang Negara. Kami mendapati bahawa penggubal yang terlibat adalah Majlis Peguam yang telah mencadangkan kepada satu kelompok kecil Jawatankuasa Kerja di dalam Majlis Konsultansi Perpaduan Negara. Kami difahamkan hanya 3 orang pemain utama terlibat di dalam penggubalan deraf rang undang-undang tersebut dan kesemua ahli-ahli lain di dalam MPKN telah tidak dirujuk secara sepenuhnya sebelum diserahkan kepada YB Nancy.

 

Kami melihat fungsi serta kewujudan peranan MPKN telah dijadikan sebagai alat tunggangan oleh sekumpulan kecil pihak-pihak yang berkepentingan di dalam cadangan-cadangan ini. Seolah-olah MPKN telah dianggap sebagai satu lesen besar untuk pihak-pihak ini melakukan perubahan yang bakal mengganggu gugat asas-asas pembinaan negara ini sesuka hati mereka. Lebih membingungkan ialah tindakan sekumpulan kecil ini terus menyerahkan rang undang-undang tersebut tanpa melalui proses rujukan dan perbincangan teliti dengan pihak-pihak berkepentingan terlebih dahulu. Seolah-olah, ia satu tindakan bersifat diktatorial dengan hanya mementingkan kehendak satuhala pihak mereka. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, perlakuan songsang kumpulan ini wajar disangsikan.

 

Selain itu, rang undang-undang tersebut telah diserahkan terus kepada Jemaah Menteri, lantas mengenepikan institusi-institusi yang bakal terjejas oleh penguatkuasaannya kelak. Ini jelas merupakan langkah provokasi yang boleh mencetuskan keresahan serta kebimbangan ramai pihak.

 

Kebimbangan Kedua pula ialah mengenai isikandungan ketiga-tiga deraf undang-undang seperti yang telah dinyatakan tadi bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

 

Pihak kami ingin menyatakan kebimbangan dan memberikan amaran dari pihak kami berkenaan kesan jangka pendek dan panjang hasil cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948, cadangan isikandungan deraf rang undang-undang menggantikan Akta Hasutan tersebut serta tujuan dan fungsi “Unfair Discrimination Tribunal” yang dinyatakan di dalam salah satu rang undang-undang tersebut.

 

Untuk peringatan semua, Negara ini telah dibina dengan tiang-tiang asas yang merupakan tulangbelakang kepada kekuatan struktur negara ini. Goncangkan tiang-tiang ini, maka bergoncanglah negara nanti. Atas sebab itu, arkitek-arkitek pembina negara ini telah menetapkan bahawa tiang-tiang asas negara ini tidak boleh dirombak, dihapuskan, disentuh mahupun digoncangkan dengan sesuka hati.

 

Akta Hasutan 1948 adalah sebuah akta yang telah berada di negara ini untuk melindungi tiang-tiang asas ini. Akta ini melindungi asas-asas Negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian Ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoalkan sama sekali termasuk oleh ahli-ahli Parlimen. Pada waktu akta tersebut digubal, kesemua kaum di Negara ini telah bersepakat. Perkara-perkara yang dilindungi Akta tersebut tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

 

Perkara 153, 152, 181 dan Bahagian Ketiga Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan mahar yang dibayar oleh golongan bukan warganegara pada masa itu untuk mendapatkan peluang kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Menuntut mahar yang telah lama dipersetujui kembali ianya boleh ditafsirkan sebagai satu tindakan sengaja mahu membubarkan perjanjian yang telah sedia termeterai dan dihormati sejak sekian lama.

 

Cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 bakal menyebabkan asas-asas yang menjadi tiang perpaduan dan keharmonian yang selama ini dikecapi negara menjadi satu sasaran terbuka oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Tidak hanya cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948 menimbulkan keresahan di dalam serahan deraf undang-undang tersebut, malah beberapa cadangan di dalamnya menuntut perhatian serius untuk dikaji motif dan kesan cadangan yang dikemukakan.

 

Berikut kami gariskan beberapa keprihatinan awal tentang kandungan ketiga-tiga deraf rang undang-undang tersebut:

 

  1. Pihak kami mendapati, Undang-undang yang cuba digambarkan sebagai usaha perpaduan ini dilihat tidak lebih daripada satu percubaan pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja untuk mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Pencadang telah secara semborono cuba mengangkat hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan secara mutlak tanpa mempedulikan prinsip “positive discrimination” yang merupakan kekecualian dalam Perkara 8 itu sendiri dan turut tidak mempedulikan asas-asas pembinaan negara yang harmoni yang turut sama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3(1), Perkara 37 (1).

 

  1. Kedaulatan Raja-Raja Melayu dalam memelihara hak keistimewaan orang Melayu yang hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 dan 38 Perlembagaan Persekutuan turut disentuh oleh penggubal deraf undang-undang ini. Penggubal seolah-olah cuba menyerlahkan sifat kebencian serta perasaan anti orang-orang Melayu dengan menggelarkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan seperti ini dengan istilah-istilah seperti ‘discrimination’ dan ‘racial superiority’. Ini jelas merupakan satu sikap yang sangat tidak sensitif dipamerkan penggubal-penggubal tersebut yang mahu mengenepikan semua peruntukan terbabit.

 

  1. Ketiga-tiga deraf rang undang-undang tersebut juga mengenepikan kedaulatan Negeri-negeri dalam perbagai aspek hanya kerana terpaksa tunduk kepada prinsip kesamarataan yang terlalu umum yang dipegang oleh penggubal. Mereka yang telah menggubal deraf tersebut ternyata hanya menjunjung secara melulu konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular termasuklah International Convention of Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Malaysia tidak meratifikasi ICERD dan tidak perlu tunduk pada konvensyen seumpama ini yang belum tentu merupakan model terbaik perpaduan dan keharmonian Negara.

 

  1. Tidak cukup dengan rencah yang seolah-olah bersifat Anti Melayu, ketiga-tiga deraf undang-undang yang dicadangkan turut berisi nada yang menunjukkan sikap pelampau golongan Ekstremis Islamufobia apabila cuba melakukan suatu perkara yang mana penjajah British sendiri tidak pernah melakukannya. Kedudukan serta Kedaulatan Agama Negeri turut sama cuba diketepikan oleh penggubal deraf undang-undang tersebut. Kedudukan ini tidak pernah diganggu oleh British dan Kerajaan Persekutuan. Malah Agama Islam telah dimartabatkan sebagai Agama Negara dengan diberikan berbagai kedudukan terhormat dan perlindungan Perlembagaan seperti Perkara 3(1),(2), 11(4), 12(2), 37(1), 74(2) Jadual Kesembilan, 121(1A) dan Perkara 150(6A) .

 

  1. Pihak kami turut melihat cadangan penubuhan “Unfair Discrimination Tribunal” tidak lebih daripada satu percubaan untuk menghidupkan kembali hasrat menubuhkan Interfaith Commmision yang pernah ditentang dan berkubur satu ketika dahulu. Dengan pelabelan baru, “Unfair Discrimination Tribunal” dilihat akan merampas kuasa institusi kehakiman dalam memutuskan isu-isu berkaitan perlembagaan, serta peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua bagi agama Islam di negeri-negeri tanah Melayu. Kedaulatan Islam dilihat bakal dihempaskan ke bawah melaluinya dan bidang perundangan Islam akan sentiasa berada di bawah skrutini sebuah tribunal yang turut sama dianggotai oleh golongan bukan Islam.

 

Melihat semua kemungkinan serta kerosakan yang bakal timbul ini,  Harus pihak kami tegaskan di sini bahawa Perkara-Perkara yang telah termaktub dan dipersetujui di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu perkara yang boleh dicampak keluar sesuka hati hanya kerana sifat dendam dan membenci sesetengah golongan kecil dalam masyarakat terhadap Kedaulatan Islam dan Melayu di negara ini.

 

Sikap-sikap tidak rasional yang terdorong dengan sifat ekstremis Islamufobia melampau sehingga gagal mengenalpasti sumber kekuatan tiang-tiang asas negara sepertimana yang terdapat di dalam deraf-deraf yang dikemukakan amatlah pihak kami kesalkan.

 

Pihak Kami ingin menegaskan bahawa peranan dan tanggungjawab memelihara kedaulatan Negara meliputi tugas-tugas melindungi institusi Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Melayu, Agama Negara dan Kenegaraan dan hal ini merupakan asas utama yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara ini tidak wajar sama sekali disentuh atas sebarang sebab sekalipun, memandangkan perkara-perkara asas ini terbukti berjaya memelihara keharmonian Negara dan kemajuan kepada semua bangsa selama ini.

 

Pihak kami juga ingin menangkis sikap yang cuba dibawakan oleh penggubal yang berusaha mempotretkan institusi-institusi kehakiman negara sebagai tidak cukup berwibawa untuk menangani isu-isu sensitif berkaitan agama dan bangsa di dalam negara. Cadangan penubuhan ‘Unfair Discrimination Tribunal’ menunjukkan bahawa penggubal mempunyai dasar kefahaman yang rigid, keras dan kaku dalam menyantuni mana-mana isu melibatkan pertikaian antara agama dan bangsa di dalam negara yang majmuk ini. Negara ini telah aman sejak berkurun lamanya melalui penghormatan serta dasar toleransi antara agama yang telah wujud sejak sekian lama. Kerap kalinya apabila berlaku apa-apa perkara yang merosakkan keamanan tersebut, puncanya adalah kerana sentiasa ada pihak cuba menggganggu gugat apa yang telah disepakati sebelum ini. Tidak semua perkara harus ditangani melalui jalan perundangan semata-mata.

 

Pihak kami, NGO-NGO Islam, memilih lokasi ini di persekitaran Hotel Cititel ini untuk kembali mengingatkan kepada pihak pemerintah tentang apa yang telah berlaku 8 tahun dahulu.

 

8 Tahun yang lalu, disinilah bermulanya gelombang permulaan penentangan besar-besaran kepada percubaan kumpulan Artikel 11 untuk merobek serta mengubah dasar-dasar asas yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut acuan yang dimahukan kumpulan kecil mereka. Antara yang turut ditentang pada masa itu ialah percubaan menubuhkan Interfaith Commission yang mempunyai sifat yang hampir sama dengan ‘Unfair Discrimination Tribunal’ seperti yang dicadangkan di dalam deraf-deraf undang-undang tersebut. Penentangan yang kemudiannya menyaksikan puluhan ribu umat Islam berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan pada Oktober 2006 sebagai kemuncak kepada gelombang penentangan.

 

Oleh yang demikian kami menggesa supaya pihak Kerajaan Pusat mendengar kegusaran kami berhubung perkembangan ini, termasuk melihat semula secara serius keputusan memansuhkan Akta Hasutan 1948 berdasarkan perkembangan mutakhir yang berlaku. Jika kerajaan meneruskan hasrat untuk memperkenalkan ketiga-tiga akta baharu tersebut, maka kami menggesa penelitian yang lebih mendalam supaya usaha menghakis asas-asas kenegaraan tidak berlaku atas nama menjulang hasrat perpaduan dan keharmonian nasional.

 

Generasi terdahulu yang menjadi arkitek pembinaan negara ini telah mengenalpasti tentang asas-asas yang menjadi struktur kekuatan kepada pembinaan negara ini. Mereka melindunginya dan berjaya mewariskan sebuah Malaysia yang berjaya untuk dihuni secara bersama oleh kita pada hari ini. Kita mewarisi sebuah Malaysia yang aman, makmur dan berjaya hasil kebijaksanaan mereka-mereka yang terdahulu.

 

Persoalannya, apakah kita mahu merobek semua kebijaksaan tersebut hanya kerana satu segmen di dalam masyarakat mempunyai penyakit dendam dan membenci asas-asas pembinaan negara ini? Apa pula bentuk negara yang bakal kita wariskan nanti sekiranya semua kebijaksanaan ini dirobek dan menghancurkan segala bentuk keamanan dan kemakmuran yang sedang kita nikmati pada hari ini?

Justeru itu, pihak kami NGO-NGO Islam ingin merakamkan perasaan resah dan kegusaran kami mengenai percubaan-percubaan tidak sensitif seperti ini. Pihak kami ingin mendesak pihak Kerajaan Pusat supaya melakukan penelitian yang lebih jitu dengan merujuk serta memastikan keterlibatan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung di dalam ketiga-tiga deraf undang-undang yang dimaksudkan.

 

Kita sedang mewarisi Malaysia yang aman hasil kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu, jangan pula kita wariskan Malaysia yang hilang keamanan kepada generasi akan datang hanya kerana kesombongan dan kegopohan pihak-pihak tertentu.

 

Pihak kami tidak akan berhenti di sini. Apa yang berlaku di sini hanyalah satu permulaan. Pihak kami akan terus bergabung dan memperjuangkan perkara ini secara bersama dengan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

 

Harapan kami, pihak Kerajaan Pusat memberi perhatian serius kepada suara-suara kebimbangan dan resah yang sedang dikemukakan ini.

 

Berikutan kebimbangan yang mendesak ini, saya,Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, selaku Pengerusi PEMBELA yang memayungi lebih dari 70 NGO-NGO Islam di tanahair dan suara  NGO-NGO Islam Wilayah Utara Semenanjung Malaysia yang hadir pada hari ini, ingin  menyatakan BANTAHAN KERAS dari pihak kami terhadap mana-mana percubaan untuk menghapuskan Kedaulatan Islam di tanahair, Kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu dan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu di bumi Malaysia ini.

 

Pendirian kami adalah jelas dan tegas tentang perkara-perkara ini.

 

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA)

Cititel, Georgetown, Pulau Pinang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s