Sumber dari Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 13 Jan. – Jarak sebuah masjid dengan bangunan tempat tinggalnya sejauh satu kilometer. Namun dia dengan nada angkuh mahu pengurusan masjid memperlahankan laungan azan yang didakwa mengganggu tidurnya setiap subuh.
Mendedahkan insiden itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd. Jurit Ramli berkata, pihaknya terpanggil untuk membangkitkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap tindakan seorang pengadu mempersoalkan azan sembahyang dari Masjid Al-Ikhlasiah Bukit Kerinchi Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Malah, katanya, pengadu yang mendakwa dari sebuah parti politik menghantar surat bantahan kepada semua pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu.
“Pengadu mendakwa dia yang tinggal di Tingkat 21 Pantai Hill Park terganggu dengan suara azan yang mengejutkannya setiap 5.45 pagi. Padahal jarak masjid dengan Pantai Hill Park lebih kurang satu kilometer.
“Orang lain yang tinggal di situ sejak dulu tidak pernah pula pertikaikan, kenapa pula dia yang baru berpindah lima tahun bertindak sebegini hingga mengundang kemarahan penduduk di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan berhubung isu itu dengan beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini.
Difahamkan, penduduk-penduduk yang merupakan kariah masjid turut menyuarakan rasa kurang senang dengan sikap kurang ajar pengadu.
Mereka menyerahkan nota bantahan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali supaya tidak menghiraukan bantahan pengadu.
Mohd. Jurit berkata, seharusnya semua pihak menghormati dan tidak mempertikaikan kebebasan beragama di negara majmuk ini.
“Kita (umat Islam) tidak pernah pertikaikan ritual agama lain, jadi kenapa dia nak menyibuk dan pertikaikan ajaran Islam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu demonstrasi aman akan diadakan esok di hadapan masjid berkenaan selepas solat Jumaat bagi membantah tindakan biadab itu.