Menjaga Keharmonian Ummah

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
dipetik dari laman Peguam Syarie http://peguamsyarie.blogspot.com

Bagi golongan yang prihatin, kita pasti sedar bahawa akhir-akhir ini negara berdepan dengan pelbagai situasi begitu asing dan tidak pernah berlaku sebelum Pilihanraya Umum ke 12. Walaupun PRU 12 telah menzahirkan pilihan rakyat namun kesannya masih dirasai oleh rakyat Malaysia. Ahli-ahli politik sama ada yang menang atau yang kalah sebenarnya masih belum dapat menerima hakikat kemenangan atau kekalahan mereka. Lantaran meletakkan politik kepartian mengatasi kepentingan rakyat.

Seharian masih sering diperkatakan tentang kesan PRU 12 ini serta natijah daripada keputusan tersebut. Malah terdapat segelincir pihak yang seolah tidak dapat menerima keputusan itu dan mencari pelbagai jalan atau helah bagi menjayakan cita-cita politik mereka.

PRU 12 sebenarnya memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya orang Islam. Kestabilan politik seperti dahulu tidak lagi jelas malah ahli-ahli politik diuji dengan pelbagai ujian bagi menegakkan prinsip masing-masing.

Apa yang menyedihkan ialah risikonya terpaksa ditanggung oleh rakyat apabila ahli-ahli politik saling tuduh menuduh, salah menyalahkan dan menuding jari antara satu sama lain samada di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen. Rakyat sekarang ini adalah lebih bijak dan berinformasi berbanding dengan 30 tahun yang lalu di dalam menilai keberkesanan dan khidmat yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat.

Orang Islam yang merupakan tunjang masyarakat Malaysia amat khuatir dengan apa yang berlaku dewasa ini. Apatah lagi sekiranya ia memberi kesan terhadap kedudukan agama Islam dan budaya Melayu. Ini adalah kerana kita dapat melihat sebahagian ahli-ahli politik Melayu Islam meletakkan politik kepartian melampaui kepentingan agama dan bangsa.

Seharusnya ahli-ahli politik Islam meletakkan Islam di tempat yang teratas di dalam menggarap tindakan ataupun keputusan mereka. Dengan cara ini kepentingan agama dan bangsa akan terjaga.

Yang lebih menghairankan, kadang-kadang kita lebih mempercayai orang lain berbanding dengan saudara seagama kita. Kita lebih meredai perbuatan orang lain dan apabila perkara itu dilakukan oleh saudara seagama yang nampak hanyalah kesilapan sahaja. Perkara ini amatlah menyedihkan.

Seringkali kita membaca di dalam akhbar-akhbar, media elektronik dan sebagainya, ahli politik Islam ini bercakaran antara satu sama lain dan alpa terhadap amanah sebenar yang diberikan iaitu untuk mempertahankan kepentingan Islam sebagai jatidiri negara. Ia dilakukan semata-mata bagi menjaga parti politik tanpa mengambilkira kepentingan agama.

Kita menyeru kepada semua ahli politik tanpa mengira parti politik yang diwakili agar berbalik kepada perjuangan yang sebenar. Apalah guna kita menjadi popular tetapi menggadaikan agama dan bangsa kita. Penulis mengajak ahli-ahli parti siasah Islam agar bersatu dalam membela kepentingan Islam kerana ini adalah perkara dasar. Namun sebagai seorang yang tidak terlibat secara langsung dalam politik, idea ini dilontarkan supaya dikupas dengan terperinci dan semoga idea ini dapat difikirkan dengan minda terbuka dan meletakkan Islam sebagai asas keputusan.

Sudah tentu tidak dalam semua keadaan kesatuan fikiran boleh dimanifestasikan seperti dalam hal ehwal lain yang lebih bersifat furu’ atau cabangan. Adalah normal untuk ahli politik tidak bersependapat di dalam perkara tersebut, tetapi sepatutnya ia tidak berlaku dalam mempertahankan kedudukan Islam. Namun penulis akur bahawa bersatu dalam konteks politik Malaysia ketika ini mungkinlah tidak bersifat bersatu dalam ertikata mengujudkan sebuah parti siasah Islam sahaja kerana ia amatlah sukar atau hampir mustahil untuk direalisasikan ketika ini. Kaedah ini mungkin sangat ideal tetapi terlalu sukar untuk dicapai.

Namun begitu, adalah tidak mustahil beberapa alternatif lain boleh dicari dalam melaksanakan bentuk kerjasama antara parti siasah Islam.Antaranya kerajaan campuran boleh dibentuk diantara parti-parti politik Melayu/Islam. Alternatif ini sebenarnya juga amat sukar untuk dicapai sekiranya semua pihak menoleh ke belakang.

Ini adalah kerana sejarah telah tercatat betapa renggangnya parti-parti politik tersebut suatu ketika dulu. Walau bagaimanapun sekiranya mereka melihat ke hadapan, mungkin terdapat sedikit harapan untuk membicarakan ke arah ini. Kerajaan sementara berteraskan Islam ini sudah tentu dapat memartabatkan Islam dan meletakkannya di tetap yang sepatutnya.

Jikapun kerajaan campuran tidak dapat dibentuk, mungkin juga persefahaman dapat dicapai di mana walaupun tidak menyertai kerajaan, pihak yang tidak membentuk kerajaan ini boleh bersifat anjal. Mereka boleh menyokong rang undang-undang dan dasar kerajaan jika ianya bersesuaian dengan Islam dan dalam keadaan yang lain menentang sesuatu rang undang-undang dan dasar kerajaan sekiranya ia tidak adil dan bertentangan dengan Islam. Dengan cara ini kepentingan rakyat dan islam akan sentiasa terjamin. Banyak negara lain telahpun mengadakan kerajaan sebegini dan ianya bukan lagi asing.

Setelah limapuluh tahun merdeka, mungkin lakaran politik Malaysia terpaksa dilakar semula dengan corak yang berbeza. Namun dalam menentukan corak mana yang akan dilakarkan itu, jatidiri negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah sentiasa disematkan di dalam diri kita. Identiti negara ini perlu dipertahan dan diperjelas disamping menolak sebarang usaha menggugat atau mempersoal jatidiri ini.

Tiga kaedah yang disebut di atas mungkin boleh difikirkan oleh kepimpinan parti siasah Islam demi menjaga kedudukan Islam di Malaysia. Namun begitu ia tidaklah bermakna orang Islam akan memencilkan orang bukan Islam di Malaysia. Sumbangan orang bukan Islam di Malaysia memang tidak boleh dinafikan dan agama Islam sebenarnya mengiktiraf kedudukan ini. Dalam hal yang demikian sekiranya Islam dapat ditegakkan maka sudah tentu orang bukan Islam akan lebih terjamin dari sudut peribadatan mereka, keperluan dan juga kebajikan.

Sesiapa yang membaca nukilan-nukilan berhubung dengan negara Islam sudah tentu memahami betapa Islam menjaga golongan minoriti bukan Islam dalam negara Islam. Oleh itu orang bukan Islam tidak perlu khuatir apabila Islam dilaksanakan.

Sudah sampai masanya cerdik pandai politikus Melayu/Islam mencari jalan memelihara kepentingan Islam ini agar tidak diperlekeh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak termasuk orang Islam sendiri. Percakaran di antara sesama orang Islam ini amatlah memalukan. Ia berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan sebahagian ahli politik untuk berbalik kepada Islam sebagai jalan penyelesaian.

Parti-parti yang mengakui memperjuangkan Islam hendaklah menterjemahkan motto atau objektif mereka ini kepada reality dan tidak hanya menjadi bahan kosmetik untuk tujuan-tujuan tertentu sahaja.

Demi Islam, lupakanlah masalah silam dan perbaharui tekad dan usaha untuk memartabatkan Islam dalam segala ruang yang ada. Janji Allah pasti benar. Allah telah berjanji sesiapa yang menolong agamaNya sudah pasti Allah akan menolong mereka pula. Oleh demikian sekiranya kita meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, sudah pasti terdapat ruang yang luas untuk bergerak demi Islam.

Penulis tidak berhasrat menceburi bidang politik, sekadar memberi pendapat dan melontarkan idea supaya perkara ini dapat difikirkan bersama. Sebagai salah seorang pemimpin NGO Islam arus perdana penulis merasa terpanggil meluahkan pandangan ini kerana keanjalan politik ketika ini cukup membimbangkan orang Islam. Ahli politik Melayu/Islam adalah pejuang kepada keagungan Islam di Malaysia, tanpa mereka sudah tentu Islam akan tidak terbela. Memang banyak jasa mereka dan sewajarnya peranan ini terus dimainkan mereka dengan lebih berkesan lagi.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s