Ambil tindakan tegas – Sultan

SULTAN Azlan Shah menandatangani plak pelancaran buku bertajuk Sampaikah Amalan Orang Hidup Kepada Arwah sambil diperhatikan Harussani Zakaria pada Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 di Ipoh, semalam, – BERNAMA

sumber: Utusan Malaysia

IPOH 16 Mei – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang mempertikaikan status agama Islam dan bidang kuasa raja dalam hal ehwal Islam.

Baginda bertitah, kerukunan hubungan rakyat pelbagai agama di negara ini boleh terjejas sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pihak yang mempertikaikan status agama Islam itu.

“Setiap warga wajib memahami secara jelas ketika mentafsir bukan sahaja apa yang tersurat, malah lebih penting untuk mendalami falsafah tersirat dalam perkara berkaitan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara,” titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011, di sini hari ini.

Namun, titah baginda, perkara yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara itu tidak akan memberi makna jika tiada muafakat yang padu sesama umat Islam.

Sultan Azlan bertitah, jika umat Islam lebih cenderung bertelagah sesama sendiri serta mula memperlihatkan toleransi tidak bertempat, dikhuatiri martabat agama Islam di negara ini sedikit demi sedikit semakin terhakis.

“Akibatnya, umat Islam bakal terdedah pada pelbagai dakyah yang boleh menggelincirkan akidah dan dalam jangka masa panjang status agama Islam sebagai agama Persekutuan akan tinggal nama sahaja,” titah baginda.

Muzakarah itu diadakan sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan ke-83 Sultan Perak.

Sultan Perak bertitah, umat Islam amat sensitif dan curiga terhadap apa jua tindakan dan perkataan yang dianggap boleh memesongkan akidah.

Titah baginda, ulama menyampaikan pandangan dan pendirian tegas kepada raja-raja Melayu, begitu juga kepada pemimpin badan-badan politik tentang pentingnya dimaktubkan definisi yang jelas mengenai status Islam dan perlindungan terhadap umat Islam apabila negara mencapai kemerdekaan.

Baginda bertitah, demi memastikan kesucian Islam tidak akan dinodai dan kemurnian Islam tidak dikompromi oleh matlamat politik kepartian dan duniawi, Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah.

“Ketika umat Melayu masa kini kelihatan semakin hanyut dalam arus duniawi dan taksub pada ideologi politik kepartian, Islam yang berada di atas politik kepartian adalah sebaik-baik platform untuk membolehkan umat Melayu kembali bertemu dalam suasana muzakarah yang rasional bagi mencari kebenaran hakiki,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s